Saturday, 26 February 2011

Ucapan buat kekanda...

Selamat menyambut hari lahir buat pertama kali sebagai seorang suami...
Moga mahligai yang dibina bakal diserikan dengan cahaya mata 
yang soleh dan solehah sebagaimana yang diimpi...
Ameen ya Robb..

Ucapan yang ringkas, tapi penuh bermakna... Suamiku, seorang yang amat gemarkan perhatian, berperwatakan ala-ala pemimpin, namun sekali sekala terserlah jua sifat keanak-anakkannya... kontra yang bersangatan dengan diriku.... hehe, tetapi itulah yang membuatkannya istimewa...di mata, di hati, di sanubari.. Cintanya tak pernah padam, semakin hari semakin mendalam... Tersenyum aku sendirian ketika mengimbas kembali kata-katanya: "Abang tak nak makan nasi  dua minggu, sampai la 26 hb nie,baru abang nak makan nasi dan kek puas-puas"  Pelik, mengapa tarikh 26 yang menjadi pilihan... ouh, nak kek rupanya time birthday nanti... hehe.. Ok, akhirnya kek Secret Recipe menjadi santapan pada hari lahirnya... Wah! Si dia tersenyum puas hingga ke cuping telinga....

~Abang, moga berbahagia selalu~

Saturday, 19 February 2011

Diari Perkahwinan:sebelum & selepas

Secara santai, aku akan berkongsi detik-detik terakhir sebagai 'bakal isteri'.
Sahabat baikku bertanya apa perasaanku tiga hari sebelum majlis ijabkabul berlangsung, mungkin dia juga mahu membuat 'persiapan mental' untuk dirinya kelak. Dengan bersahaja aku berseloroh: " Rasanya macam nk raye je... dapat baju baru...  bezanya, ade make-up, itu  je" Hehe... benar, sungguh benar. Aku  tidak pernah memakai alat solek tebal seumur hidupku. Dia kelihatan sangat geram, namun tetap tersenyum dengan jawapanku ~ itulah antara memori dan kenangan manis kami bersama.

Kini, aku telah sah bergelar isteri....
Ke hulu ke hilir dengan suami di sisi dan inai yang masih merah di jari.
Ramai bertanya apa perasaanku setelah berumahtangga. Dengan bersahaja aku menjawab: "Tak puas, rasa macam nak kawen lagi sekali". Suami di sebelah tersenyum memandang, mungkin dalam diam dia juga bersetuju. Ingin mengulangi sekali lagi detik terindah dalam kehidupan kerana terasa seakan pantas masa berlalu. Proses pernikahan yang ku lalui terlalu cepat rasanya, namun tetap bersyukur  dengan keindahan Islam yang memudahkan semua perkara. Dengan hadirnya pengantin lelaki, ditemani saksinya,  abah selaku wali dan adikku sebagai saksi kedua, juga qadhi yang bertanggungjawab melancarkan proses ijabkabul & bacaan ta'lik, terasa terlau pantas masa berlalu. Dengan sekali lafaz, aku sah menjadi isteri.... Cepatnya! Sehingga aku tidak sempat untuk mengalirkan air mata...hehe. Yang kelihatan hanya air mata jernih yang mengalir di pipi suamiku... mungkin terasa berat tanggungjawab  yang kini digalas, dengan menerima diriku sebagai isteri.

~Abang, moga mahligai kita kekal hingga ke syurga,ameen~

Wednesday, 16 February 2011

Mengharungi kampus realiti

Alam rumahtangga penuh dengan seribu satu kemungkinan yang menjanjikan apa saja. Apa saja? Ya! Bahagia atau derita, suka ataupun duka, senyuman atau tangisan, pengorbanan atau penafian. Kita boleh pilih apa saja, dan kesudahannya juga sudah pasti dapat kita ramalkan. Aku mulakan luahan pertama ini dengan membicarakan tentang "mengharungi kampus realiti". Sebagai seorang yang terdidik dan terbiasa dengan fakta, aku akan cuba untuk mendifinisikan setiap patah tajuk coretanku kali ini. Mungkin kelihatan terlalu formal atau membosankan, tapi aku percaya... setiap dari kita mempunyai pengertian yang berbeza terhadap satu kalimah yang serupa.

Mengharungi bagiku ialah melalui...melalui liku-liku kehidupan yang tidak pasti corak dan cabarannya, kerana lorong dan jalan yang perlu diteroka penuh dengan teka-teki. Kalimah kampus ku petik untuk mengingatkan diriku tentang tanggungjawab yang masih ku galas sebagai seorang mahasiswi, juga sebagai memori ketika bergelar pelajar di kampus. Realiti, membawa maksud apa yang sedang dilalui dengan mata yang celik, hati yang insaf dan jiwa yang tabah, kerana setiap insan diciptakan bukan untuk berfantasi seumur hidupnya.

Mungkin definisi aku dalam mentafsir ungkapan tersebut sama dengan kamu, atau mungkin sedikit berbeza, atau mungkin tidak serupa secara total. Itulah maksudku... Aku yang seringkali dilabel sebagai seorang yang suka memendam perasaan dan sukar menzahirkan emosi lebih selesa begini, melahirkan kata-kata dengan tulisan.

Aku....sebenarnya terlalu baru untuk mencoretkan pesanan ini. Aku... baru saja bergelar seorang isteri. Isteri kepada seorang yang cukup memahami. Namun, aku sedar bahawa dugaan dan rintangan sudah pasti ada. Itu janji dari tuhan. Dan rumahtangga yang baru ku bina membuatkan aku lebih mengenali diri sendiri. Dia umpama cermin yang sentiasa menjadi refleksi diri, dia umpama bayang yang menemaniku dalam setiap perjalanan, dia umpama payung yang melindungiku untuk sampai ke Jannah tuhan. Ya Allah, aku bersyukur padaMu atas jodoh yang telah Kau tetapkan untukku.

Sebenarnya, satu saja yang ingin ku coretkan di sini, sebagai peringatan buatku serta teman di luar sana. Moga kita sama-sama mendapat manfaat dari tulisan ini. Aku tak mahu berbicara kosong,  aku tak mahu berkata sia-sia. Selangkah kita menjejakkan kaki ke alam rumahtangga, hadapilah ia dengan keyakinan yang tidak berbelah-bahagi terhadap Allah, bahawa itulah jodoh kita. Jangan pernah lari dari tanggungjawab (sebagaimana kita selalu lari dari menghadiri kuliah, atau lebih tepat lagi... ponteng kelas) atau berlengah melaksanakan kewajipan (sebagaimana kita seringkali meremehkan tugasan asignment). Andai kita mampu meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan, rebutlah juga ganjaran yang telah tuhan sediakan. Pilihan ada dalam tangan kita, kemahuan ada dalam minda kita, jawapan ada dalam hati kita. Ingatlah, perjuangan ini sangat penting, penentuan antara syurga dan neraka!